Thursday, April 28, 2016

KES ANAK KAMBING MENYERUPAI MANUSIA

Kes anak kambing yang dilahirkan menyerupai manusia yang ditakdirkan Allah berlaku di Johor beberapa hari lepas. Saya suka kita kembali kepada pemahaman asas. Untuk persenyawaan berlaku memerlukan gamet (benih) dari haiwan jantan dan betina. Kambing adalah haiwan ruminan kecil yang mempunyai kromosom 60 (2n - Diploid). Manakala manusia pula mamalia yang mempunyai 46 kromosom (2n - Diploid). Dalam penghasilan gamet (benih) secara normal bilangan kromosom akan menjadi separuh (haploid - n) melalui satu proses pembahagian sel yang kita panggil meiosis. 

Dalam proses meiosis bilangan kromosom ini di separuh kan sebagai persediaan untuk percantuman dengan gamet haploid (n) pasangan nya supaya selepas persenyawaan zigot/embrio yang terbentuk bersedia sebagai diploid semula (n + n = 2n) dan berkembang sebagai anak yang normal. 

Nah, sekarang kita lihat seekor kambing mempunyai kromosom 2n = 60 dengaan mana gametnya (n) menjadi 30. Manakala manusia pula mempunyai kromosom 2n = 46 dengan gametnya (n) sebagai 23. Percantuman kedua dua gamet semasa persenyawaan (jika benar benar berlaku) akan menghasilkaan zigot yang punyai kromosom 53 (2n). Secara logik akal mana mana ahli genetik haiwan akan berpandangan komposisi 2n yang ber angka ganjil mustahil untuk berkembang dalam peraturan azali sistem pembiakan (not a viable zigot) dan paling nasib baik pun berkembang ke pembahagian sel ke 32 dan selepas itu zigot itu akan mati. Adalah mustahil untuk melepasi tahap pembahagian sel lengkap sehingga terbentuk janin dan apa lagi di lahirkan sebagai makhluk (seperti gambar yang tersebar beberapa hari lepas).

Allahu a'lam segala galanya adalah ketentuan yang Allah boleh putuskan dan saya sebagai seorang muslim tentu saja tidak menyangkal yang Allah tentukan. 

Secara peribadi saya beranggapan makhluk yang di lahirkan oleh kambing di dalam gambar tersebut adalah anak kambing yang mengalami malformasi (genetic defect) yang saya kira BUKAN kali pertama berlaku. Tentu telah ada kes kes sebegini yang terjadi di tempat tempat lain di pelusuk dunia ini.Cuma mungkin kita sahaja yang tidak tahu.

Saya masih berpegang kepada konsep asas genetik pembiakan yang meletakan tahap mustahil untuk terhasilnya kacukann hibrid manusia-ruminan walaupun melalui bantuan aplikasi bioteknologi pembiakan apalagi jika ianya berlaku secara tabi'e.

Allah jua yang lebih mengetahui.

Professor Dr. Shaharum Shamsuddin 
Pakar Biologi Molekul
Pusat Pengajian Sains Kesihatan
USM

No comments: