BOT pelancong menyusuri Sungai Muar di hadapan Masjid Jamek Sultan Ismail.
Sate, mi bandung, Gunung Ledang serlah imej Bandar Maharani EKO pelancongan, juadah istimewa, tempat bersejarah dan keindahan alam sering menjadi tarikan berkunjung ke sesuatu lokasi. Bagi bandar popular Muar, daerah ini menawarkan pakej percutian lengkap walaupun pernah digelar bandar pencen. Siapa tidak pernah mendengar kelazatan asam pedas, sate dan mi bandung Muar? Deretan bangunan zaman kolonial dan keseronokan di Dataran Tanjung Emas juga menggamit pengunjung termasuk pelancong asing.
Kunjungan ke Muar tentunya menjanjikan pengalaman berbeza dengan keunikan tersendiri. Tentunya keenakan pelbagai juadah eksotik mengujakan kami bertandang ke Muar selain terpukau dengan keindahan Gunung Ledang.
Teruja dengan sarapan istimewa di Muar ialah sate dan mi bandung, kami sekeluarga bertolak dari Kuala Lumpur pada awal pagi dengan perut kosong.
SATE dan Mi bandung Muar antara sajian yang popular.
Perjalanan hanya mengambil masa kira-kira dua jam melalui Lebuhraya Utara Selatan dan keluar di laluan Plaza Tol Tangkak. 9 pagi : Setibanya di Muar, kami merentasi Jambatan Sultan Ismail yang merentangi Sungai Muar. Pemandangan mengasyikkan dengan deretan bangunan di tebing serta jeti nelayan. Kami tidak melepaskan peluang bersarapan mi bandung dan sate Muar yang menjadi menu wajib bagi sesiapa saja yang berkunjung ke sini. Katanya, tidak lengkap kunjungan jika tidak menikmati kedua-dua juadah ini. Pilihan kami semestinya kedai Abu Bakar Hanifah di Jalan Abdullah yang sentiasa mendapat sambutan, termasuk dari pelancong asing dan kenamaan.
BELAYAR menyusuri Sungai Muar amat menyeronokkan.
10 pagi : Kami memulakan pengembaraan meneroka Muar dengan melalui Jalan Muar-Batu Pahat. Banyak rumah lama dilihat di sepanjang jalan. Kami singgah sebentar di jeti nelayan Parit Jawa iaitu kira-kira 15 kilometer dari bandar untuk melihat aksi burung hijrah yang berkampung di jeti ini. Kawanan burung ini dikatakan sudah hampir pupus iaitu burung botak atau nama saintifiknya, Leptotilos Javanicus. Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Kolam Air Panas Sungai Gersik yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar. Setibanya di kolam air panas ini, kami berehat dan mengambil kesempatan berendam meregangkan urat kaki dan badan.
Bandar Muar dibuka pada 1884 dan dikenali sebagai Bandar Maharani. Nama Muar berasal dari perkataan ‘muara’ berikutan kedudukan bandar itu di kuala sungai.
Sungai Muar mempunyai banyak catatan peristiwa bersejarah termasuk pada zaman kesultanan Melaka dan kesan serangan komunis di Bukit Kepong.
Pelbagai bangunan lama termasuk Masjid Jamek Sultan Abu Bakar, Bangunan Sultan Abu Bakar, Kubu Bentayan, Bangunan Kastam Diraja, Mahkamah Tinggi/Sesyen, Pejabat Cawangan Polis Trafik Muar dan Sekolah Tinggi Muar masih terpelihara.
Kesan Kubu Bentayan yang menjadi lokasi terakhir kerajaan Melaka selepas serangan Portugis pada tahun 1511 juga boleh dilihat. Peminat sejarah juga boleh mengunjungi Muzium Bukit Kepong yang mencatat serangan komunis di lokasi kira-kira 80 kilometer dari bandar Muar.
Sebelum pulang, pastinya anda ingin membeli cenderahati untuk keluarga dan teman. Kopi 434 yang didatangkan dengan bungkusan menarik sesuai dijadikan ole-ole atau perencah Mi Bandung Muar segera. Pelbagai kerepek tempatan juga boleh didapati di pasar atau di tepi jalan. Dalam perjalanan pulang sebelum tiba di Plaza Tol Tangkak, deretan gerai buah-buahan tempatan boleh disinggahi.
No comments:
Post a Comment